UNDANG-UNDANG SYARIKAT

Picture
Pengenalan

Di kebelakangan ini sudah banyak tertubuh syarikat-syarikat perniagaan yang ditaja oleh kaum Bumiputera. Satu bentuk badan perniagaan ialah syarikat-syarikat berhad yang didaftar di bawah Akta Syarikat, 1965.

Perjalanan syarikat ditadbirkan oleh Lembaga Pengarah iaitu badan pengurus yang tertinggi yang dianggotai oleh beberapa orang pengarah, dengan berpandu kepada Tataurusan Persatuan Syarikat (Artikel of Association) dan peruntukan-peruntukan dalam Akta Syarikat 1965.


Adalah menjadi hakikat bahawa ada di antara mereka yang menjadi pengarah syarikat tidak memahami atau mengerti selok beloknya akan tugas dan tanggungjawab mereka, bidang kuasa dan yang agak penting iaitu sekatan ke atas kuasa-kuasa pengarah. Memang terdapat kes-kes di mana pengarah-pengarah didapati bersalah dan dikenakan hukuman denda atau penjara kerana didapati melakukan sesuatu di luar bidang kuasa dan bertentangan dengan perlembagaan Syarikat dan Akta Syarikat, 1965.


BENTUK-BENTUK BADAN PERNIAGAAN

Badan-badan perniagaan yang terdapat di negara ini tergolong dalam tiga kategori iaitu:–

1.    
Pemilik  Tunggal (sole proprietor),
2.    
Perkongsian (partnership) dan
3.    
Syarikat-syarikat (companies).

Pemilik Tunggal
Taraf undang-undang bagi perniagaan bentuk pemilik tunggal bergantung kepada taraf tuanpunya perniagaan itu sebagai seorang manusia biasa (natural person). Ciri terpenting bentuk perniagaan ini ialah pengendalian perniagaan dijalankan oleh seorang individu yang bertanggungjawab penuh atas pengurusannya samada mengenai pentadbiran atau kewangan.

Individu ini mengeluarkan modal dan juga menguruskan perniagaan itu. Kejayaan perniagaannya bergantung kepada usahanya sendiri. Biasanya perniagaan bentuk ini sangat sesuai jika seseorang itu mengendalikan perniagaan kedai runcit, kedai makan, tukang jahit dan perniagaan-perniagaan sepertinya. Tiap-tiap orang yang menjalankan perniagaan bentuk ini mesti mendaftarkannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956 (Disemak 1978). Yuran yang perlu dibayar ialah   RM 70.00 untuk pendaftaran permulaan dan RM 70.00 setahun apabila membaharui Sijil Pendaftaran.


Perkongsian
Bentuk perniagaan kedua yang terdapat ialah perkongsian. Perkongsian ialah perhubungan yang terdapat di antara orang-orang yang menjalankan perniagaan bersama untuk keuntungan.
Perkongsian bolehlah diibaratkan sebagai sekumpulan pemilik tunggal yang menjalankan perniagaan bersama. Tiap-tiap dari mereka yang bertanggungjawab sehingga harta peribadi mereka sendiri untuk menyelesai hutang-hutang perniagaan perkongsian.

Jenis perniagaan ini juga mesti didaftarkan dengan Suruhjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perjalanan perniagaan secara perkongsian sekarang ini adalah tertakluk kepada undang-undang yang terdapat dalam Akta Perkongsian, 1961 (Disemak 1974).

Syarikat


Takrif Syarikat

Satu lagi bentuk badan perniagaan ialah syarikat-syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Syarikat ialah satu pertubuhan perbadanan yang mempunyai identitinya sendiri dan adalah satu entiti undang-undang (legal entity) seperti seorang manusia.


Syarikat seperti juga seorang manusia mempunyai hak dan tanggungjawab. Sebagai seorang individu syarikat boleh juga memiliki harta, boleh mengambil tindakan undang-undang dan juga tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya.


Syarikat adalah berasingan dari ahli-ahli pemegang sahamnya tetapi tindakan-tindakan ejen-ejen manusianya adalah tindakan dan tanggungjawabnya. Misalnya, Pak Pandir seorang pekerja pemandu lori kepada Syarikat Sure Boleh Sendirian Berhad telah cuai membawa lorinya dan mengakibatkan kerugian terhadap Lebai Malang. Lebai Malang boleh meminta ganti rugi dari Syarikat Sure Boleh Sendirian Berhad disebabklan kecuaian pekerjanya Pak Pandir seorang pemandu.
Sesuatu syarikat itu masih wujud sungguhpun ahli-ahlinya mati. Hayat syarikat tidak semestinya bergantung kepada hayat ahli-ahlinya kerana ianya mempunyai identiti berasingan dari ahli-ahlinya. Bagi ahli-ahli perniagaan ciri-ciri yang tersebut di ataslah yang menjadikan syarikat itu bentuk perniagaan yang paling menarik untuk mereka. Ini adalah kerana tanggungjawab mereka untuk hutang-hutang perniagaan syarikat berhad itu terhad kepada sumbangan modal saham yang telah dibayar dan baki sumbangan yang telah dipersetujui tetapi belum dibayar oleh mereka. Dari segi undang-undang, sungguh pun seorang pemegang saham mempunyai saham, majoriti di dalam sesuatu syarikat, dia tidak boleh mengenepikan perlembangaan syarikat itu atau apa-apa peruntukan terkandung di dalam Akta Syarikat 1965 dalam pengendalian syarikat.

Syarikat Awam Dan Syarikat Sendirian
Di bawah Akta Syarikat 1965 dua orang atau lebih boleh bersekutu untuk apa-apa tujuan yang sah boleh dengan jalan mencatitkan (subscribing) nama mereka kepada satu memorandum dan mematuhi syarat-syarat pendaftaran di bawah Akta Syarikat menubuh satu syarikat yang diperbadankan.


Sebelum menerangkan jenis-jenis syarikat di bawah Akta Syarikat 1965, perlu difahami perbezaan di antara Syarikat Sendirian dan Syarikat Awam.


Syarikat sendirian ialah syarikat :     

(i)      
menghadkan hak memindahmilik saham-sahamnya.
(ii)     
ahli-ahlinya tidak melebihi daripada 50 orang.
(iii)    
melarang tawaran kepada orang ramai membeli (subscribe) saham-saham atau debencer syarikat.
(iv)    
melarang apa-apa tawaran kepada orang ramai untuk meletak wang dengan syarikat untuk masa tetap atau boleh membayar balik jika diminta  (“payable at call”) samada menerima faedah atau tidak.

Syarikat Awam
i)    
Syarikat lain daripada ini ialah Syarikat Awam. Ciri terpenting ialah bilangan ahli-ahli tidak terhad dan tidak ada sekatan dalam pertukaran hak milik saham. Syarikat

ii)   
Awam mesti mendapatkan sijil untuk memulakan perniagaannya terlebih dahulu setelah pendaftaran sedangkan syarikat sendirian boleh memulakan perniagaan serta merta setelah pendaftaran.

Jenis-jenis syarikat Berhad

Syarikat-syarikat yang boleh ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 ialah :


(i)
    Syarikat Berhad Menurut Saham

       Di dalam syarikat berhad menurut saham tanggungan kewangan ahli-ahli syarikat ini terhad kepda nilai par saham-saham yang dipegang oleh mereka tidak dikehendaki menyumbangkan lebih wang dari nilai par saham yang dipegang mereka itu. Dengan ini harta peribadi ahli-ahli syarikat diasingkan dari harta perniagaannya.

(ii)   Syarikat Berhad Menurut Jaminan
   
Dalam syarikat berhad menurut jaminan pula, ahli-ahli syarikat hanya bertanggungjawab untuk membayar dalam memorandum syarikat sekiranya syarikat itu digulung (wound up).


Tanggungjawab ini berjalan semasa mereka masih menjadi ahli syarikat atau dalam masa setahun setelah mereka berhenti menjadi ahli.

(iii)   Syarikat Berhad Menurut Saham Dan Jaminan
      
Syarikat berhad menurut saham dan jaminan adalah syarikat menurut jaminan yang mempunyai modal saham dan kedudukannya seakan-akan kedudukan syarikat berhad menurut syer tetapi tanggungan berlebihan dikenakan atas ahli-ahlinya sekiranya penyelesaian hutang piutang berlaku.


(iv)   Syarikat Tidak Berhad
      
Syarikat tidak berhad tidak menghadkan tanggungan kewangan ahli-ahlinya untuk hutang-piutang syarikat.


Memorandum Persatuan Syarikat Dan Tataurusan Persatuan

Sebelum sebuah syarikat didaftarkan, penganjur-pengajurnya antara lain mestilah menyediakan dua buah dokumen iaitu :

1.   
Memorandum Persatuan (Memorandum of Association)
2.   
Tataurusan Persatuan (Articles of Association)

Memorandum Persatuan Syarikat menghuraikan tujuan-tujuan untuk mana syarikat ditubuhkan. Tataurusan Persatuan Syarikat pula mengandungi secara terperinci peraturan dan kuasa-kuasa pihak tertentu.


SIAPA PENGARAH

Takrif Pengarah
Pengarah ialah seorang ejen kepada pemegang-pemegang saham yang dilantik atau dipilih menduduki dalam Lembaga Pengarah. Mengikut Akta Syarikat 1965, “Pengarah” ialah seseorang yang menduduki tempat sebagai seorang pengarah sesuatu perbadanan tidak kira apa nama yang digunakan, dan termasuk juga seseorang yang memberi arahan dan dipatuhi oleh pengarah-pengarah lain.


  Syarikat
Mengikut Akta Syarikat, Pengurus Syarikat ialah ketua pengawai eksekutif yang menjalankan urusan-urusan sesuatu syarikat. Orang itu mungkin diberi nama “Pengarah Urusan” atau “Pengarah Kerja” atau “Pengurus Besar”, dan beliau tidak semestinya menjadi seorang pengarah.


Perbezaan diantara pengarah biasa dengan pengurus, ialah seseorang pengurus adalah dikehendaki menjalankan urusan syarikat pada tiap-tiap hari dengan kuasa-kuasa yang diberikan. Kuasa-kuasa eksekutif ini adalah diwakilkan (delegated) oleh pengarah-pengarah syarikat itu dengan beberapa kawalan tertentu.


Pada kebiasaannya Pengarah Urusan dan Pengarah Kerja sesuatu syarikat mempunyai kuasa untuk mengikat kontrak bagi pihak syarikat. Bagi syarikat yang mempunyai Pengurus saja, kuasa perlu diberikan kepadanya melalui suratkuasa wakil (Power of Attorney). Suratkuasa wakil diberi kepada pengurus syarikat melalui resolusi Lembaga Pengarah.


Pengarah-pengarah boleh juga menjadi kakitangan syarikat sekiranya mereka bekerja sepenuh masa dengan syarikat samada sebagai Pengarah Urusan atau Pengarah Kerja dan biasanya mereka mempunyai kontrak kerja yang bertulis dengan syarikat.


KELAYAKAN MENJADI PENGARAH SYARIKAT

Syarat-Syarat Menjadi Pengarah

Syarat-syarat untuk menjadi seorang pengarah disenaraikan dalam Akta Syarikat, dan di antaranya ialah:

(a)      berumur lebih daripada 18 tahun.

(b)   mempunyai fikiran yang waras.

(c)   tidak pernah didapati bersalah oleh mahkamah dalam hal-hal penajaan, pembentukan atau pengurusan sesuatu perbadanan lain di  masa-masa lepas.

(d)   tidak disabitkan kesalahan penipuan (fraud) atau tidak amanah yang boleh  dihukum penjara.

(e)   tidak mempunyai kesalahan atas apa-apa tuduhan tidak jujur atau kecuaian yang berkaitan dengan pengurusan syarikat termasuk membuat keuntungan  sulit atau tidak menyimpan kira-kira yang betul.


Jika seorang itu disabitkan atas kesalahan-kesalahan (c), (d) dan (e) adalah menjadi satu kesalahan jikalau di dalam masa lima tahun setelah disabitkan atau selepas lima tahun keluar dari penjara, beliau menjadi seorang pengarah atau penaja atau mengambil bahagian dalam pengurusan Syarikat di Malaysia.


(f)  bukanlah seseorang bankrap yang belum dibebaskan daripada hukuman bankrap.


Pengarah-pengarah mestilah menandatangani borang “Persetujuan Menjadi Pengarah” dan membuat perakuan bahawa perkara dari (a) hingga (f) di atas adalah benar.
 

Sebuah syarikat mestilah mempunyai sekurang-kurang (2) dua orang pengarah.