Kerepek 7F ke luar Negara

Picture
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN n.jagatheswary@kosmo.com.my
sumber : KOSMO

Usahawan kampung, Mahmudin Abas mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM4.3 juta setahun hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain. Apakah rahsia di sebalik kejayaan usahawan ini?

BILA sebut sahaja ubi kayu, pasti ramai generasi lama akan terkenangkan zaman 'makan ubi kayu' ketika penduduk Tanah Melayu berada di bawah penjajahan Jepun. Kesukaran mendapatkan beras ketika itu membuatkan penduduk menggantikan nasi dengan ubi kayu untuk meneruskan hidup. Kini, ubi kayu bukan sekadar satu hidangan yang penuh nostalgia. Kepelbagaian penyediaannya dinikmati oleh generasi muda dan lebih daripada itu, industri menghasilkan kerepek ubi kayu telah mengubah hidup Mahmudin Abas, 53, dari Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat, Selangor. Bergelar usahawan kampung, beliau kini meraih pendapatan lumayan hanya dengan menghasilkan dan memasarkan kerepek ubi kayu. Beliau mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM4.3 juta setahun daripada hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain yang diusahakannya sejak tahun 1983. Perusahaan Fazz Enterprise Kerepek House, milik Mahmudin tidak bermula dengan modal yang besar atau memaksanya membuat pinjaman bank. Semuanya dibuat secara berdikit-dikit dan perniagaan yang diusahakan secara industri kampung ini semakin meningkat dari sehari ke sehari. Mahmudin kini boleh berbangga kerana produk kerepek ubi kayunya turut dipromosikan dan dipasarkan di Singapura; Dubai; Melbourne, Australia; Brunei dan Hong Kong. 

 

Picture


Kejayaan usahawan ini bukannya datang bergolek.

Ia hasil kerja keras dan didorong rasa tanggungjawab untuk memberikan kehidupan yang lebih terjamin buat isteri dan tiga orang anaknya yang sedang membesar ketika itu. Semuanya bermula selepas anak kelahiran Kampung Kanchong Darat ini memutuskan untuk berhenti kerja selepas 12 tahun berkhidmat di sebuah kilang di Petaling Jaya bagi membuka perniagaan sendiri.


Makanan ringan ini dipasarkan dibawah jenama kerepek 7F

Menurutnya, ketika itu pendapatan sebagai pekerja kilang tidak mencukupi untuk menyara isteri dan tiga orang anak. Bekas juru teknik itu memberitahu, beliau tidak pula menyerahkan nasibnya kepada takdir semata-mata selepas berhenti kerja. "Isteri saya, Tuminah Kamsah banyak memberi galakan kepada saya untuk membuka perniagaan kerepek pisang tandan dan ubi kayu secara kecil-kecilan.

Dapur memasak pula terdiri daripada tungku dan kayu api. "Bermula dengan sebuah tungku, saya kemudiannya mempunyai 10 tungku. Tetapi kini, saya lebih selesa menggunakan dapur gas,'' katanya kepada Kosmo!. Ketekunan dan kegigihan mengusahakan perniagaan kerepek ubi kayu ini kemudiannya mendapat perhatian orang ramai di sekitar kampungnya dan kampung berhampiran.